Fitnah PR terbongkar : Penaja nafi Arumugam letak jawatan diugut BN

February 18, 2009 oleh Pemuda UMNO Subang  
Dalam kategori Hal Semasa, Kedah

.

SUNGAI PETANI 17 Feb. – Individu yang menaja V. Arumugam pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, menafikan peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau itu disebabkan oleh ugutan pihak tertentu khususnya Barisan Nasional (BN).

Zamil Ibrahim yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mendakwa, Arumugam tidak pernah ditawarkan sebarang imbuhan sekiranya bersetuju untuk meletak jawatan, sebaliknya beliau berbuat demikian atas sebab lain.

“Selepas sebulan menjadi Exco, Arumugam mengadu tidak selesa serta ‘dianaktirikan’ kerajaan negeri, jadi saya nasihatkan dia supaya keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan sebab itulah dia letak jawatan.

“Dia (Arumugam) menceritakan semua masalah kepada saya kerana saya bertanggungjawab membiayai sepenuhnya perbelanjaan beliau dari segi deposit calon, kos berkempen serta menyediakan borang pencalonan pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zamil yang juga bekas Pengarah Strategi PKR Merbok mendakwa, walaupun beliau mempunyai kuasa penuh ke atas Arumugam dan boleh menyuruhnya meletak jawatan pada bila-bila masa, namun beliau tidak pernah menawarkan sebarang bayaran untuk tujuan itu.

Beliau mendakwa keputusan untuk menaja Arumugam dibuat secara peribadi selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih calon yang tidak dipersetujui PKR Merbok untuk kerusi DUN Bukit Selambau iaitu Saiful Izham Ramli yang pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana gagal mengemukakan belanjawan pada pilihan raya 2004.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, Arumugam yang bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai PKR, menewaskan calon BN dari MIC, S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi.

Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan selepas dikatakan tidak tahan dengan ugutan oleh pelbagai pihak, termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili BN menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.

Arumugam, menerusi seorang wakilnya telah menghantar surat mengenai peletakan jawatan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri pada 8 Februari lalu. – BERNAMA

Lambat atau cepat, akhirnya kebenaran pasti akan mencari jalan menimbulkan dirinya.

Ini adalah bukti nyata yang terang tanpa perlu bersuluh lagi terhadap tindak tanduk pemimpin pembangkang, juga blog-blog penyokong mereka yang sering melemparkan ‘persepsi’ negatif terhadap UMNO/BN yang selalunya berunsur fitnah atau sekadar boleh diterima lojik semata tanpa disandarkan dengan bukti yang kukuh.

Bolehkah rakyat hidup dibawah ‘Kerajaan Persepsi’ tajaan kerajaan bunian Pakatan Rakyat?