Pemuda dan Wanita UMNO Subang prihatin nasib rakyat

April 8, 2010 oleh Pemuda UMNO Subang  
Dalam kategori Aktiviti / Program, Hal Subang, Prihatin

Ziarah Amal Pemuda & Wanita UMNO Subang di Kg. Sg. Kayu Ara
20 Mac 2010 – Menzahirkan matlamat menjuarai rakyat, Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Subang berjalan kaki meredah panas terik matahari dari rumah ke rumah di kawasan Kg. Sg. Kayu Ara, DUN Bukit Lanjan untuk menziarahi beberapa buah keluarga yang dilaporkan amat memerlukan bantuan bagi menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi.

Ada di antara keluarga berkenaan yang tidak mempunyai sebarang mata pencarian kerana masalah kesihatan menyukarkan mereka untuk bekerja. Kerana kesempitan hidup itu juga menyebabkan anak-anak mereka turut menjadi mangsa apabila tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak yang lain.

Selain kesempitan hidup, kesempitan ruang juga menjadi satu masalah apabila seorang ibu tunggal yang menghadapi masalah obesiti terpaksa tinggal di sebuah rumah kecil yang diduduki seramai 27 orang.

Ketiadaan kemudahan asas seperti air dan elektrik yang telah dipotong amat menyukarkan bagi sebuah keluarga menjalani kehidupan seharian mereka.

Di sebalik seribu satu macam masalah dan ujian yang perlu dihadapi oleh rakyat di kawasan tersebut, lahirlah seorang insan istimewa, Sdra. Mohd Raizan Bin Abdul Rahman, yang membuktikan bahawa usaha yang didorongi semangat dan iltizam adalah tangga kejayaan dalam hidup apabila beliau menjadi antara pelajar yang cemerlang dalam pendidikan walaupun beliau kurang berkeupayaan untuk berjalan sejak dilahirkan.

Kini berusia 21 tahun, Sdra. Raizan pernah dijadikan adik angkat kepada Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia yang ketika itu, Ketua Pemuda UMNO Subang, Sdra. Harison Hassan adalah timbalan pengerusi biro berkenaan.

Dengan keputusan STPM 3A 1C, Sdra. Raizan sedang memohon untuk memasuki Kolej Za’aba Ke 7, UiTM kerana beliau mendapati kemudahan yang disediakan di kolej berkenaan memudahkannya untuk bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

Walaupun kebanyakan masalah keluarga terbabit tidak dapat diselesaikan serta merta dengan hanya satu kunjungan singkat, Pemuda dan Wanita UMNO SubangĀ  akan berusaha memastikan keluarga-keluarga ini mendapatkan pembelaan yang sewajarnya dari pihak-pihak berwajib.

Di kesempatan ini, Pemuda dan Wanita UMNO Subang melahirkan jutaan penghargaan kepada En. Asmadi Musa, seorang individu dermawan yang turut serta dalam kunjungan dan sudi menghulurkan sumbangan wang tunai kepada keluarga-keluarga terbabit bagi meringankan sedikit bebanan yang mereka tanggung selama ini.

Ulasan

pemudasubang.com mengalu-alukan komen, ulasan, teguran dan cadangan. Sumbangan berbentuk artikel, informasi dan bahan berita juga dialu-alukan. Namun segala ulasan yang diberikan didalam artikel-artikel pemudasubang.com adalah tanggungjawab pengirim. pemudasubang.com tidak bertanggungjawab keatas segala ulasan yang diberi, melainkan ulasan dari pemudasubang.com sendiri.





Sertakan gambar (format *.jpg sahaja)