YB dakwa Selangor rugi RM10j
May 13, 2010 oleh Pemuda UMNO Subang
Dalam kategori Paparan Utama

Ahli Parlimen Kapar dedah tiga pegawai KSSB seleweng pasir
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendakwa lebih RM10 juta hasil pendapatan kerajaan Selangor hilang berikutan pembabitan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik kerajaan negeri dalam kegiatan melombong pasir secara haram.
Katanya, walaupun syarikat gagal mencapai sasaran keuntungan, ada kakitangan menikmati kenaikan gaji 100 peratus dan mendapat bonus empat bulan gaji.
“Saya berharap perkara ini diselesaikan segera kerana tidak mahu kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri hilang akibat isu rasuah ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, di sini, semalam.
Laporan dibuat jam 1 tengah hari selepas pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Khalid bagi membincangkan isu berkenaan, sebelum itu.
Manikavasagam mengambil tindakan itu berikutan pendedahannya mengenai tiga pegawai atasan KSSB mengamalkan rasuah sebelum ini tidak mendapat reaksi positif Menteri Besar.
Beliau sebelum ini mendakwa memiliki dokumen bukti seperti memo dalaman serta invois syarikat berkenaan dan berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan daripadanya.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata, siasatan kes rasuah membabitkan pegawai atasan KSSB akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).
Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar keterangan Manikavasagam kira-kira 30 minit di pejabatnya, pagi semalam.
Abdul Khalid berkata, sebagai badan bebas, Selcat yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Kim akan bertindak segera terhadap aduan itu supaya satu sesi pendengaran awam dapat diadakan.
“Kerajaan negeri sudah memberi arahan kepada semua kakitangan jabatan kerajaan dan pegawai KSSB untuk memberi kerjasama penuh terhadap Selcat dan kita akan memastikan ketelusan dalam semua perkara,” katanya.
Ditanya gesaan Manikavasagam sebelum ini yang tidak mahu Selcat terbabit dalam siasatan kes rasuah itu, Abdul Khalid berkata, beliau sudah mengarahkan Ahli Parlimen Kapar itu membuat laporan polis bagi membuktikan kerajaan negeri bersikap telus dalam isu KSSB. – Berita harian
pemudasubang – MB Selangor menyatakan, Kerajaan Selangor akan mendapat RM140 juta hasil dari jualan pasir. Tapi baru-baru ini dalam pengumuman yang dibuat, kita dimaklumkan hanya RM26 juta sahaja yang diperolehi. Kalau dicampur dengan RM10 juta yang didakwa hilang, jumlahnya baru RM36 juta. Mana yang selebihnya??


Ulasan
pemudasubang.com mengalu-alukan komen, ulasan, teguran dan cadangan. Sumbangan berbentuk artikel, informasi dan bahan berita juga dialu-alukan. Namun segala ulasan yang diberikan didalam artikel-artikel pemudasubang.com adalah tanggungjawab pengirim. pemudasubang.com tidak bertanggungjawab keatas segala ulasan yang diberi, melainkan ulasan dari pemudasubang.com sendiri.